Tuesday, April 20, 2010

Luahan Hati Seorang Homoseksual





Aku seorang homoseksual. Sebenarnya, ramai yang tidak faham dan tidak mengerti apa perasaan seorang yang dilahirkan sebagai homoseksual. Ramai yang membenci homoseksual. Tapi, adakah mereka faham apa yang tersimpan di dalam hati seorang homo? Adakah mereka menganggap seorang homoseksual mencintai seorang yang sama jenis dengan sengaja?



Aku dilahirkan sebagai seorang homoseksual. Sejak sekolah lagi, aku punyai perasaan sayang terhadap lelaki. Namun, bukan aku tidak tahu yang mana betul dan mana yang salah. Aku juga pernah menjalinkan hubungan dengan seorang wanita. Dia adalah wanita pertama dan terakhir dalam hidup aku. Setelah dikecewakan, perasaanku terhadap wanita semakin pudar. Aku cuba untuk mencintai wanita, namun bukanlah mudah. Justeru, aku tidak mahu mengecewakan mereka kerana perasaanku yang songsang. Mereka berhak untuk mendapatkan lelaki yang sempurna, bukan seperti aku.



Aku juga impikan sebuah cinta, inginkan belaian kasih sayang dari seorang yang tercinta. Ramai tidak mengetahui keperitan seorang homoseksual menagih cinta. Setiap kali aku jatuh cinta, aku hanya pendamkan sahaja perasaan ini. Jauh di sudut hati aku amat inginkan belaian kasih sayang seorang lelaki. Mahu dicintai dan mencintai seperti insan yang lain. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Hidupku sunyi, tiada siapa yang ambil kisah. Aku selalu keseorangan. Namun, aku bersyukur kerana mempunyai ramai kawan walaupun tidak ada antara mereka yang memahami perasaanku.



Cinta itu aneh. Sukar untuk ditafsirkan. Datangnya bukan dari paksaan, perginya pula tanpa kerelaan. Namun, bagi aku cinta tidak membawa apa-apa erti. Aku tidak layak untuk dicintai dan mencintai. Alasan yang kadang kala susah untuk diertikan. Cinta umpama kota kristal, indah di penglihatan , derita di perasaan….Aku hanya dapat merasai perasaan cinta, namun tidak pernah dicintai.



Sekarang, aku jatuh cinta lagi dengan seorang yang agak rapat denganku. Namun apa yang aku mampu hanyalah menahan perasaan ini. Simpan perasaan ini jauh di benak hati ini. Aku tidak mampu mengata atau meluahkan apa-apa kerana tidak siapa pun yang memahami apa yang aku sedang alami. Tiap kali berjumpa, aku hanya terdiam membisu. Aku mula menjadi kaku dan kelu, kadang-kadang paranoid. Ya, paranoid. Aku takut suatu hari nanti dia akan mengetahui perasaanku ini. Pasti dia menjauhkan diri dan pergi. Tiap detik aku fikirkan apa yang aku perlu lakukan untuk hilangkan perasaan ini. Aku mahu perasaan ini pergi jauh dari sini.



Aku hanya insan biasa juga tidak punyai apa-apa. Aku terlalu inginkan kehidupan seperti orang lain. Aku hanya mahukan perasaan sayang kepada kaum hawa....

No comments: